Saturday, November 7, 2009

TUGASAN 3 • Laporan Kolokium 1

Meningkatkan Minat Pelajar Tingkatan Satu Terhadap Subjek Sains Melalui Kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM)
oleh:
Syaidatul Haini Binti Mohd Radzi (P48676)
Rasyidatun Naja Isa (P48623)

Pernyataan Masalah

Pengajaran Sains dalam kelas bersifat satu hala di mana hanya guru yang aktif dalam menyampaikan isi pengajaran manakala pelajar menjadi pasif dan kurang bertanya kepada guru. Melalui beberapa pertemuan dengan pelajar yang menggunakan kaedah ini, pelajar kurang memberi tumpuan kepada pengajaran guru dan lebih gemar membuat kerja lain, berbual dengan rakan mahupun tidur. Selain itu, guru hanya memberi respon kepada persoalan yang berkaitan dengan silibus sahaja tanpa menghiraukan soalan yang berkaitan di luar silibus. Akibatnya, subjek Sains kurang diminati oleh pelajar.

Metodologi Kajian, Setting Kajian, dan Sampel Kajian

1. Proses kajian tindakan yang dijalankan adalah mengikut Model Kurt Lewin (1948). Menurut model ini, kajian tindakan bergerak dalam satu kitaran yang berterusan melibatkan empat peringkat atau langkah, Peringkat I: Mereflek, Peringkat II: Merancang, Peringkat III: Bertindak, Peringkat IV : Memerhati.

2. Setting kajian ini adalah pelajar Tingkatan 1A bagi subjek Sains di Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

3. Sampel kajian ialah seramai 35 orang yang terdiri dari kaum Melayu, India dan Cina dan daripada latar belakang keluarga yang sederhana dan mewah.

Pengumpulan dan Analisis Data

Pemerhatian

Pemerhatian dilakukan oleh dua orang guru yang terlibat untuk melihat perubahan minat pelajar semasa terlibat dalam aktiviti. Gambar diambil semasa pelajar menjalankan aktiviti untuk dijadikan bahan dokumentasi. Guru melihat perbezaan minat para pelajar dari reaksi yang dipamerkan oleh mereka.

Temubual

Beberapa pelajar ditemubual oleh guru untuk melihat pandangan dan reaksi mereka terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan melalui kaedah penyelesaian masalah.

Analisis data

Daripada pemerhatian, reaksi dan sikap pelajar semasa proses P&P menggunakan kaedah PBM yang ditunjukkan adalah positif. Kerjasama antara ahli kumpulan yang ditunjukkan juga memberangsangkan.

Daripada temubual, didapati persepsi pelajar terhadap kaedah PBM berbanding kaedah konvensional adalah positif. Pelajar berpendapat kaedah PBM adalah baru bagi mereka dan sangat baik untuk menggantikan kaedah konvensional. PBM juga dikatakan mampu menjana idea pelajar.

Implikasi Kajian

Kaedah PBM adalah sangat sesuai digunakan sebagai alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran kerana ianya mampu menarik minat pelajar di samping menggalakkan proses pengajaran dua hala dan berpusatkan pelajar.

Kebaikan | Kelemahan
Kebaikan
- kaedah PBM mampu merangsang minda pelajar untuk berfikir dengan lebih kritis dan mendalam.
- guru boleh mengaitkan kaedah ini dengan apa yang berlaku dalam dunia sebenar.

Kelemahan
- memerlukan bimbingan guru untuk mengaitkan dengan nilai murni.
- sesuai diamalkan semasa perkembangan, tetapi kurang sesuai apabila berada dalam fasa pengukuhan atau mengingat

Apa yang dapat dipelajari daripada kajian | PENAMBAHBAIKAN

Daripada hasil kajian yang positif ini, guru-guru bolehlah memanfaatkan kaedah PBM dengan lebih kerap dan tidak hanya menggunakan kaedah pengajaran berpusatkan guru semata-mata. Guru perlu mempunyai inisiatif sebagai rujukan bagi mendapatkan idea dan aktiviti yang kreatif yang berasaskan kaedah PBM. Antaranya ialah aktiviti permainan, lakonan, perbincangan kumpulan, main peranan dan lain-lain lagi agar aktiviti PnP menjadi lebih menarik dan bermanfaat kepada pelajar.

No comments:

Post a Comment