Saturday, December 5, 2009

TUGASAN 4 • MINI KAJIAN TINDAKAN • AKTIVITI 13

TEORI, STRATEGI, KAEDAH yang boleh diadaptasi bagi setiap masalah

PENDEKATAN BERPUSATKAN PELAJAR
Dalam pembelajaran berpusatkan pelajar, peranan guru sebagai pembimbing adalah penting. Terutama sekali pada peringkat awal pembelajaran, setiap pelajar cuba menyesuaikan diri mereka dengan cara pembelajaran yang baru.

Peranan guru adalah mengawasi kemajuan pelajar dan memberi sokongan, galakan dan runding cara. Guru juga memainkan peranan dalam menguruskan bahan pengajaran dan bertindak sebagai fasilitator.

Bahan pembelajaran yang dihasilkan menggalakkan penyertaan aktif pelajar dan memberi maklumbalas, dan tidak hanya membaca, mendengar atau melihat secara pasif sahaja.

IMPLIKASI terhadap kajian
1. Pendekatan ini membolehkan menentukan kadar pembelajaran mereka, terutama selepas waktu kelas; untuk meluangkan masa memahami bahagian yang sukar.
2. Gabungan aktiviti menyanyi, membaca, mendengar dan melihat berupaya mengekalkan tumpuan dan mengelakkan kebosanan.
3. Guru perlu menyatakan objektif pengajaran dengan jelas sebelum pengajaran bagi memudahkan pelajar mengetahui apa yang perlu dicapai di akhir kelas.
.................................................................................................................................................................
TEORI KONSTRUKTIVISME
Menurut Pusat Perkembangan Kurikulum (2001), konstruktivisma adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.

Selain itu, proses pengetahuan juga berlaku dalam konteks sosial, iaitu seseorang pelajar bertukar-tukar idea dengan pelajar lain dalam kumpulan kecil atau besar.

IMPLIKASI teori konstruktivisme terhadap kajian
1. PnP akan berpusatkan pelajar.
- ini adalah untuk mengatasi kelemahan pengajaran subjek yang menggunakan kaedah berpusatkan guru. Justeru, tumpuan, inisiatif dan minat pelajar dapat ditingkatkan dengan penyertaan aktif dalam aktiviti karaoke/nyanyian ini.
2. Pengetahuan yang dipunyai oleh murid adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh murid tersebut dan bukan pengajaran yang diterima secara pasif.
3. Guru berperanan sebagai fasilitator.
4. Guru mengenalpasti pengetahuan sedia ada pelajar dan merancang kaedah pengajarannya berasaskan pengetahuan tersebut.
- guru boleh mengaplikasikan kaedah ini untuk memperbaiki tahap penggunaan bahasa sedia ada pelajar dan menggalakkan pelajar menggunakan bahasa yang tepat.
- Seterusnya guru boleh meluaskan perbendaharaan kata pelajar, sedikit demi sedikit untuk membolehkan pelajar membina pengetahuan yang baru selaras dengan objektif pembelajaran.
5. Guru bertindak sebagai perekabentuk bahan pengajaran.

.................................................................................................................................................................
PEMBELAJARAN KOPERATIF


Pembelajaran koperatif adalah strategi pengajaran yang berstruktur dan sistematik, iaitu ahli-ahli dalam sebuah kumpulan kecil sahaja bekerja bersama-sama untuk mencapai suatu matlamat yang sama.

Dalam pembelajaran koperatif, terdapat hubungan saling bergantungan yang positif pada matlamat pelajar. Pelajar merasakan mereka boleh mencapai matlamat, jika hanya pelajar lain dalam kumpulan mencapai matlamat pembelajaran mereka. Kejayaan sesebuah kumpulan bergantung kepada hasil kerja yang dilakukan oleh setiap ahli kumpulan.


Implikasi Terhadap Kajian



1. Pembelajaran koperatif dilakukan bertujuan untuk memastikan pelajar yang dilantik sebagai ketua perlu memainkan peranan dan tanggungjawabnya untuk memastikan kejayaan tugasan yang dihasilkan bersama ahli kumpulannya.


2. Selain itu, ia juga bertujuan untuk menggalakkan pelajar menjadi seorang aktif, bekerjasama dan menghormati antara satu sama lain.

3. Menggalakkan pelajar untuk membantu setiap ahli kumpulan yang lemah iaitu dengan cara memberikan tunjuk ajar kepada mereka.


.................................................................................................................................................................

TEORI TINGKAHLAKU (TEORI PELAZIMAN OPERAN)

Teori Pelaziman Operan ialah tingkahlaku secara tidak sengaja. Ia fokus kepada pembelajaran di mana tingkah laku sengaja diperkukuh atau dilemahkan oleh konsekuen.

Hukum kesan Thorndike (Thorndike's Law of Effect) menyatakan bahawa sebarang tindakan yang menghasilkan kesan yang memuaskan atau menyeronokkan mempunyai kemungkinan yang besar akan diulang.

Salah satu yang dapat dilihat ialah melalui ganjaran. Ganjaran merupakan peneguhan positif diberi selepas sesuatu tingkahlaku berlaku dengan tepat boleh mengukuh dan mengekalkan tingkah laku pelajar yang berkenaan.

Implikasi Terhadap Kajian

1. Guru akan memberikan ganjaran kepada pelajar contonya melalui token apabila pelajar menjawab soalan dengan betul. Secara tidak langsung ini akan menggalakkan pelajar untuk menjawab setiap soalan yang dikemukakan oleh guru.

2. Selain itu, ia juga akan menggalakkan penyertaan pelajar di dalam kelas kerana pelajar akan bersaing antara satu sama lain untuk menjawab soalan daripada guru.

3. Pelajar dapat berfikir dengan cepat dan dapat menguji sejauhmana mereka faham tentang topik yang diajar oleh guru berkenaan.

4. Mewujudkan suasana pembelajaran yang seronok dan ceria kepada pelajar-pelajar.

.................................................................................................................................................................
KERANGKA TEORITIKAL, KONSEPTUAL dan OPERASIONAL kajian

Kerangka teoritikal
Kerangka teoritikal membentuk konsep, terma, definisi, model dan teori yang menjadi asas disiplin bagi kajian yang hendak dilaksanakan. Seterusnya akan membentuk "masalah" kajian, soalan kajian, pengumpulan data dan analisis serta bagaimana mentafsir data.
Satu kaedah untuk menentukan kerangka pemikiran ialah melalui tinjauan literatur dengan pembacaan yang berkait rapat dengan tajuk yang dikaji. Sepanjang pencarian berkenaan, pengkaji akan berjumpa dengan tajuk jurnal, kata kunci dan maklumat-maklumat lain, konsep, model dan teori yang berbagai-bagai jenis.
Pengkaji harus bijak memilih kerangka teoritikal kerana ia akan menjadi panduan dalam proses penyelidikan bagi mengenal pasti terma yang relevan dengan konsep, definisi pemboleh ubah, soalan-soalan khusus yang hendak diselidik, memilih responden kajian, prosedur pemilihan, strategi pengumpulan data, teknik menganalisis dan interpretasi hasil dapatan kajian.



Ciri-ciri kerangka teoritikal yang baik meliputi:
• Membantu pengkaji mengenal pasti topik yang hendak dikaji.
• Panduan mencari kajian-kajian lepas.
• Memilih aspek yang difokus.
• Merapatkan jurang di antara maklumat yang diketahui dan tidak diketahui.
• Memberi panduan kepada pengkaji memilih responden yang sesuai.

Teori yang digunakan

Koperatif

Pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan kecil untuk mencapai satu matlamat yang sama (Slavin, 1982). Dalam kajian ini, guru akan menggunakan kaedah tersebut bagi mencungkil kebolehan setiap pelajar. Melalui pembelajaran koperatif ini, diharapkan pelajar dapat berinteraksi secara positif dalam kumpulan dan menggalakkan budaya perkongsian idea antara satu sama lain.

Konstuktivisme

Konstruktivisme merupakan proses pembelajaran yang menerangkan yang menerangkan bagaimana pengetahuan disusun dalam minda manusia. Mengikut kefahaman konstruktivisme, ilmu pengetahuan sekolah tidak boeh dipindahkan daripada guru kepada guru dalam bentuk yang serba sempurna. Murid perlu bina sesuatu pengetahuan iut mengikut pengalaman masing-masing. Pembelajaran adalah hasil daripada usaha murid itu sendiri dan guru tidak boleh belajar untuk murid. Untuk membantu murid membina konsep atau pengetahuan baru, guru harus mengambil kira struktur kognitif yang sedia ada pada mereka. Apabila maklumat baru telah disesuaikan dan diserap untik dijadikan sebahagian daripada pegangan kuat mereka, barulah kerangka baru tentang sesuatu bentuk ilmu pengetahuan dapat dibina. Proses ini dinamakan konstruktivisme.

Pelaziman Operan (Ganjaran)

Selain itu, kajian ini juga menggunakan teori pelaziman operan, pengukuhan positif. Pengukuhan positif ialah memberikan sesuatu ganjaran kepada pelajar setelah perlakuan itu ditunjukkan, bertujan supaya perlakuan tersebut akan diulang. Dalam kajian ini, kami akan memberikan ganjaran kepada pelajar yang banyak terlibat dalam aktiviti P& P. Ganjaran akan diberikan dalam bentuk pujian, senyuman atau pemberian hadiah.

.................................................................................................................................................................

KERANGKA KONSEPTUAL

Kerangka Konseptual adalah antara jenis teori yang mencuba untuk menghubungkan kesemua aspek yang ditemui ( definisi masalah, tujuan,sorotan kajian, metodologi,pengumpulan dan penganalisisan data. Kerangka Konseptual berperanan sebagai peta yang berkaitan dengan penemuan secara impirikal (pemerhatian atau ujian ). Ini kerana, kerangka konseptual berpontensi sangat hampir kepada penemuan impirikal mereka menggunakan bentuk-bentuk yang b erbeza bergantung kepada persoalan atau masalah kajian.

Tajuk

Karaoke atau Nyanyian dalam Pengajaran dan Pembelajaran

Objektif

1) Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran.

2) Meningkatkan penglibatan pelajar terhadap pengajaran dan pembelajaran.

Tempat Kajian

Bilik darjah

Sample Kajian

20 orang pelajar dalam subjek bahasa Melayu

Prosedur Pengumpulan Data

Pemerhatian

Soal selidik

Analisis Data

Data dianalisis berdasarkan hasil pemerhatian terhadap kefahaman dan penglibatan pelajar selama kajian dijalankan.

Rumusan

Model yang digunakan dalam kajian ini adalah model Kemmis dan Mc Taggard (1983). Model kajian tindakan yang dihasilkan oleh Stephen Kemmis dan Robert Mc Taggard pada tahun 1983 ini melibatkan dua kitaran. Kitaran yang pertama melibatkan refleksi pengajaran yang lepas manakala kitaran yang kedua melibatkan refleksi terhadap kajian yang dijalankan. Setiap kitaran tersebut mengandungi empat peringkat, iaitu fasa perancangan (plan), fasa tindakan (action), fasa pemerhatian (observe), dan fasa refleksi (reflection).

Langkah 1: Merancang

Dalam fasa perancangan, pengkaji membuat pemerhatian ke atas pelajar sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran. Tingkah laku pelajar diambil perhatian. Pelajar dilihat kurang berminat dan berfokus dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu sekiranya dijalankan menggunakan kaedah kuliah atau berpusatkan guru. Pengkaji telah membuat perancangan untuk mengatasi masalah tersebut dengan menggunakan kaedah karaoke atau nyanyian dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Langkah 2: Tindakan

Dalam fasa tindakan pula, pengkaji bertindak dengan memilih topik yang sesuai untuk menjalankan tindakan. Pengkaji telah memilih topik tatabahasa tajuk penggolongan kata. Kajian ini telah dilakukan selama 40 minit semasa waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

Langkah 3: Pemerhatian

Seterusnya, pada fasa pemerhatian, pengkaji menjalankan pemerhatian terhadap maklum balas pelajar semasa kaedah tersebut diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu. Pengkaji telah mencatatkan setiap perlakuan pelajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung dari aspek penglibatan, minat dan fokus mereka terhadap pengajaran bahasa Melayu.

Langkah 4: Refleksi

Fasa refleksi mengambil kira penilaian kendiri oleh guru serta penilaian oleh pelajar sewaktu sesi soal selidik diadakan. Kemudian pengkaji menganalisis segala kelemahan yang terdapat dalam kajian ini serta memikirkan penambahahbaikan yang boleh dilakukan bagi memurnikan lagi proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ini.

.................................................................................................................................................................

KERANGKA OPERASIONAL

Kerangka operasional adalah penjelasan tentang pembolehubah-pembolehubah yang terdapat dalam konsep-konsep yang dipilih dan hubungan antara pembolehubah-pembolehubah tersebut, serta hal-hal yang dijadikan alat pengukuran untuk mengukur pembolehubah-pembolehubah yang bersangkutan. Definisi operasional ini diberikan mengikut fahaman pengkaji, bukannya dengan merujuk kamus.

Berdasarkan kajian yang dijalankan, beberapa perkataan akan didefinisikan. Antaranya;

Karaoke

Menurut Kamus Dewan, karaoke bermaksud satu bentuk hiburan yang membolehkan individu (kumpulan) menyanyikan lagu terpilih di khalayak tertentu dengan iringan muzik yang sedia terakam dalam alat audio visual. Karaoke adalah satu bentuk hiburan interaktif yang membolehkan penyanyi amatur menyanyi bersama-sama dengan muzik yang telah dirakam. Muzik biasanya terdiri daripada lagu yang biasa didengari tanpa adanya vokal. Lirik dan pergerakan pula dipaparkan pada skrin video untuk panduan kepada penyanyi.

Nyanyian

Menurut Kamus Dewan, nyanyian bermaksud gubahan muzik yang dilagukan dengan suara. Manakala muzik, bermaksud gubahan bunyi yang menghasilkan bentuk dan irama yang indah dan menyenangkan. Kaedah nyanyian boleh diaplikasikan dalam pengajaran dan pembelajaran, terutamanya subjek Bahasa Melayu dengan cara pengajaran tentang sarikata lagu, memahami susunan baris lagu, nyanyian secara keseluruhan dan menerangkan nilai yang diperoleh daripada lagu tersebut.

No comments:

Post a Comment