Wednesday, October 28, 2009

TUGASAN KELAS

10 Sebab Guru Perlu Melakukan Kajian Tindakan

1. Memberi lebih pengetahuan dan kefahaman tentang satu-satu masalah yang berlaku dalam pengajaran dan kaedah-kaedah untuk merancang penyelesaian. Kajian tindakan melibatkan analisis data-data, mengenalpasti kaedah untuk mengumpul data bagi mengkaji hubungan di antaranya, mengkaji kekuatan dan kelemahan; untuk membolehkan guru membuat interpretasi terhadap subjek kajiannya.

2. Mewujudkan satu gelung maklumbalas (feedback loop) untuk memperbaiki kaedah-kaedah pengajaran sedia ada. Ia merupakan satu proses yang berlaku secara berterusan. Guru menjalankan kajian tindakan, mendapat maklumbalas yang positif daripada pelbagai sumber seterusnya memperoleh banyak input bagi penambahbaikan pada masa akan datang.

3. Menghasilkan satu pangkalan data yang terdiri daripada strategi dan kaedah yang berguna untuk membantu dan berkongsi maklumat dengan guru-guru lain. Ini bermaksud kajian-kajian tindakan yang telah dijalankan dapat dijadikan sebagai rujukan dan panduan kepada guru dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran.

4. Mewujudkan guru yang lebih kreatif dalam menyampaikan pengajarannya. Kajian tindakan melibatkan mencari pendekatan-pendekatan baru yang boleh mempersoalkan tanggapan-tanggapan yang dibuat, seterusnya melakukan pembaharuan dan bukan hanya mengikut sahaja apa yang telah dilakukan oleh guru-guru sebelum ini (Lankshear, C & Knobel, M. 2004).

5. Melahirkan modal insan yang berkualiti dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial.

6. Sebagai penambahbaikan teknik pengajaran oleh guru pada masa hadapan.

7. Memastikan kaedah pengajaran guru yang selari dengan perkembangan semasa. Perkembangan era globalisasi menuntut guru supaya tidak ketinggalan dan berada seiring dengan kepesatan dan pembaharuan dalam dunia pendidikan.

8. Membuat kajian untuk mengenalpasti kelemahan dan kekuatan yang wujud dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru boleh menghasilkan satu analisis yang baru daripada kajian-kajian lepas agar dapat menghasilkan perspektif baru terhadap kajian yang akan dijalankan. Macintyre (2000) mengatakan bahawa dengan memahami pro dan kontra serta mengenalpasti bagaimana kaedah yang diguna dapat mempengaruhi kajian, merupakan perkara yang penting dalam menjadi seorang guru yang boleh dipercayai.

9. Mencipta dan memperkenalkan satu kaedah baru untuk diaplikasikan dalam pengajaran guru. Guru terlibat sepenuhnya dalam mengkonsepsi dan melaksanakan perubahan, berbanding hanya menjadi pemerhati (Macintyre 2000). Justeru, dengan menjalankan kajian tindakan, guru akan lebih bersifat proaktif dalam mencari pendekatan-pendekatan terbaru dan membuat kajian mengenainya agar dapat disesuaikan dengan pembelajaran di dalam kelas.

10. Meningkatkan kualiti dan profesion perguruan. Guru penyelidik bukan hanya menjalankan tugas rutin sebagai pendidik malahan bertindak sebagai pemikir, pereka, pencipta, penyelesai masalah dan pengamal yang seterusnya akan dapat menyumbang ke arah peningkatan profesionalisme perguruan (Lankshear, C. & Knobel, M. 2004).

Rujukan

Macintyre, C. 2000. The art of action research in the classroom. London: David Fulton Publishers.

Bell, J. 2005. Doing your research project. London: Open University Press.

Lankshear, C & Knobel, M. 2004. A handbook for teacher research: from design to implementation. London: Open University Press.

No comments:

Post a Comment